Saturday 9 April 2011

Sejarah Negeri Pahang

Kebiasaannya, untuk mengenali tentang sesuatu tempat, kita perlulah mengetahui tentang sejarahnya dulu. Bak kata pepatah 'tak kenal maka tak cinta'. Oleh itu, saya akan menceritakan kepada anda serba sedikit tentang sejarah negeri ini.

Bagaimana Pahang mendapat namanya?

Pada zaman dahulu Negeri Pahang Darul Makmur mempunyai berbagai nama. Pengarang China menyebutnya sebagai Pang-Hang, Peng-Heng, Pang-Heng, Pong -Fong, Phe-Hang, Pang-Kang dan lain-lain. Pada tahun 1225 Chao Ju-Kua telah mengarang sebuah buku bernama Chu-Fan-Chi, beliau menyatakan di antara beberapa buah negeri yang ditakluki di bawah kuasa San-fo-chi ialah negeri yang bernama Peng-keng. Peng-keng itu ialah Negeri Pahang Darul Makmur.

Orang Arab dan orang Eropah zaman dahulu menyebut Pam, Pan, Phang, Paam, Pao, Paon, Phaan, Paham, Fanhan, Phang dan Pahagh. G.R. Tibbetts, seorang ahli sejarah yang mengulas kisah yang ditulis dengan huruf Arab dalam buku karangan Mas'udi itu pada pendapat Tibbetts ialah Pahang. Dia lebih setuju menyebut perkataan Fanjab itu sebagai Fanhan, Panghang atau Panhang. Semuanya itu dimaksudkan Pahang. Ada setengah pendapat menyatakan Pahang berasal dari bahasa Siam asli ertinya timah. Orang Siam asli yang dulunya mendiami negeri ini dengan membuka lombong bijih timah terutama di Sungai Lembing.

Mengikut cerita orang tua-tua Melayu pula, pada zaman dahulu di Sungai Pahang iaitu bertentangan dengan Kampung Kembahang, ada sebatang pokok kayu mahang yang besar rebah melintang menyeberangi sungai itu. Dari pokok mahang itu kononnya berasal nama Negeri Pahang Darul Makmur itu. Gelaran tua bagi Negeri Pahang Darul Makmur itu ialah Inderapura, disebut Pahang Inderapura. Bandar Dirajanya terkenal hingga sekarang iaitu Pekan dan ibu negeri pada zaman dahulu iaitu Kuala Lipis. Sebelum ditakluk oleh kerajaan Melayu Melaka ia dikenali sebagai Pura.

Pentadbiran di negeri Pahang

Inggeris telah meluaskan kuasanya ke Negeri Pahang Darul Makmur, Residen pertama iaitu J.P.Rodger telah dilantik dalam bulan Oktober 1888. Perkara utama yang diberikan perhatian oleh Inggeris ialah menentukan tempat letaknya pusat pentadbiran Negeri Pahang Darul Makmur. Tiga tahun kemudian iaitu dalam tahun 1891 pusat pentadbiran ini dipindahkan dari Pekan ke Lipis. Rancangan ini hanya untuk buat sementara sahaja tetapi rancangan yang dikatakan sementara itu telah memakan masa lebih dari 64 tahun kerana pusat pentadbiran Negeri Pahang Darul Makmur hanyalah dipindahkan ke Kuantan pada tahun 1955. Cadangan untuk pemindahan pusat pentadbiran ini telah dibuat semenjak tahun 1901 lagi, tetapi keputusan muktamad untuk memindahkan pusat pentadbiran Negeri Pahang dari Kuala Lipis ke Kuantan diambil pada 2 Mac 1953; Bagi memilih tempat yang bersesuaian bagi pusat pentadbiran Negeri Pahang, pihak Kerajaan Negeri telah memusatkan pandangannya kepada dua kawasan iaitu Temerloh / Mentakab dan Kuantan. Tetapi disebabkan bentuk mukabumi Temerloh / Mentakab yang tidak rata dan memerlukan perbelanjaan yang besar untuk pembangunannya maka Kuantan telah diputuskan untuk dijadikan ibu negeri Pahang Darul Makmur. Pusat pentadbiran Negeri Pahang Darul Makmur telah dipindahkan ke Kuantan pada hari Sabtu 27 Ogos 1955 dengan dirasmikan oleh KDYMM Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al Muadzam Shah Ibni Al Marhum Al Sultan Abdullah Al Mu'tasim Billah, DK., SIMP., DK., SIMP., DK(Brunei)., DK(Johor)., DK(Perak)., SPDK(Sabah)., GCMG. Manakala pada 28 Februari 1970, bangunan pentadbiran pusat berpindah ke Wisma Sri Pahang.


No comments:

Post a Comment