Sunday 10 April 2011

Jom Melawat Taman Negara

Hotel di Pahang

Bagi pengunjung yang ingin datang ke Pahang tetapi tiada tempat untuk menginap...jangan risau..di sini terdapat pelbagai pilihan hotel yang sesuai untuk anda.

1) Swiss Garden Resort and Spa

Terletak di Pantai Balok, Kuantan, Swiss Garden Resort & Spa menawarkan 4 pilihan tempat makan, gelanggang tenis dan kolam renang luaran berbentuk bebas yang mengagumkan. Ia juga mempunyai spa dan Wi-Fi percuma.
Swiss Garden Resort menyediakan perkhidmatan hantar-jemput percuma ke Bandar Kuantan yang terletak 10-minit memandu jauhnya. Lokasinya yang sangat baik menawarkan akses mudah untuk ke banyak tarikan pelancongan serta kedai-kedai cenderamata batik.
Bilik-bilik di Swiss Garden Resort mempunyai balkoni peribadi dengan pemandangan Laut Cina Selatan atau taman tropika. Kemudahan termasuk tempat mandi yang panjang. Bilik-bilik terpilih mempunyai ruang tamu dan jakuzi.
Kegiatan seperti jet-ski, perjalanan ATV, catamaran dan paintball boleh dinikmati di resort. Para tetamu juga boleh berehat di buaian kanvas (hammock) dan menikmati permainan pool, atau mengalami sesi karaoke terbuka yang seronok dengan teman-teman di Parrot Bar.
Para tetamu boleh bertemu teman-teman dan keluarga dengan menikmati pastri buatan sendiri serta minuman panas di Swiss Deli. Makanan antarabangsa serta makanan Cina yang halal ada disediakan.

2) Berjaya Tioman Resort
Terletak di Pulau Tioman, resort ini menawarkan 6 pilihan tempat bersantap, kolam renang luaran dan Wi-Fi percuma di kawasan awam. Ia mempunyai chalet-chalet gaya-Melayu dengan pemandangan laut atau taman.
Berjaya Tioman Resort terletak 1 jam penerbangan dari Skypark Subang Terminal serta 40-minit penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Changi Singapura.Dilengkapi lantai dan perabotan kayu,
 chalet-chalet yang luas di Berjaya mempunyai penyaman udara dan balkoni peribadi. Ianya dilengkapi TV kabel dan alat membuat teh/kopi.
Sri Nelayan menyajikan masakan istimewa Malaysia dan antarabangsa, sementara Fortune Court menawarkan menu Cina a la carte. Coriander Seeds Restaurant dan Matahari Restaurant dibuka untuk makan malam. Untuk minuman dan snek ringan, bar kolam renang terbenam dan bar pantai ada terdapat di sini.
Para tetamu boleh bersenam di pusat kecergasan atau memilih dari pelbagai rawatan di Ayura Spa. Gelanggang-gelanggang tenis dan ruang permainan ada disediakan.

3)  Hotel De' La Ferns, Cameron Highlands

Terletak di perbukitan yang dingin di Cameron Highlands, hotel ini memiliki restoran dan reka bentuk gaya-zaman Tudor Inggeris. Bilik-biliknya menawarkan akses internet dan pemandangan ke kawasan luar bandar dan padang golf. Hotel De' La Ferns Hotel dilengkapi dengan TV dengan saluran satelit dan minibar.
Hotel De' La Ferns terletak 5-minit memandu dari Tanah Rata dan Brin Chang.
 Bilik-bilik mandi peribadi dilengkapi kemudahan pancuran mandian dan pengering rambut. Perkhidmatan bilik ada disediakan.
De' La Ferns mempunyai kaunter penerimaan tetamu 24-jam yang menawarkan perkhidmatan seperti pertukaran mata wang dan faks/fotokopi. Mereka yang memandu boleh meletak kereta di tempat ini dengan percuma.



Makanan Tradisi Pahang

Sekarang kita beralih pula kepada makanan di negeri Pahang..Adakah anda teringin merasai makanan tradisi negeri Pahang? Anda pernah dengar tak nama 'asam rom'? Tentu ada yang tak pernah dengar kan? Kalau ada yang pernah dengar dan tahu tu ok la....

                                               Gulai Asam Rom....

Asam rom merupakan masakan yang terkenal di Pahang, terutama di Kuala Tahan, Jerantut. Gulai asam rom diperbuat daripada buah perah atau biji getah yang dijeruk selama lebih kurang satu bulan. Ia dimasak bersama beberapa bahan tertentu seperti buah jambal, daun jambal, terung pipit, terung telunjuk, daun kesing, keladi dan kacang botol. Kunyit hidup pula ditumbuk bersama cili padi bagi menambah rasa pedasnya. Masakan ini hanya boleh ditemui di kawasan Jerantut dan amat terkenal di sebelah Kuala Tahan. Ia menjadi makanan yang amat digemari bagi penduduk di sana, malahan kini ianya semakin terkenal di kalangan pelancong yang berkunjung ke Kuala Tahan.

Pantai, Pulau dan Tasik

Pahang dianugerahi dengan pantai, pulau dan tasik yang indah dan masih terpelihara yang boleh menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk para pengunjung.

Pantai

Pantai Pahang yang panjang terbentang dari Kuantan hingga ke Terengganu. Lautnya yang jernih sangat bersesuaian untuk aktiviti menyelam, selam skuba, berenang, berjemur, luncur air dan berlayar. Terdapat Teluk Cempedak yang teluknya sangat sesuai untuk aktiviti sukan air. Pantai Balok merupakan tarikan kepada peminat peluncur angin dan juga lokasi untuk 'International Monsoon Madness Challenge'.

Anda juga boleh menikmati pantai yang indah dan tidak terjejas di sepanjang pantai selatan negeri Pahang iaitu Pantai Lanjut dan Cherating yang mempunyai pantai berpasir keemas-emasan.
Anda juga boleh melihat pemandangan yang unik di Pantai Beserah dengan menyaksikan nelayan memindahkan hasil tangkapan dari bot ke tempat pemprosesan menggunakan kerbau.

Pulau

Di seberang pantai tanah besar Pahang ialah Pulau Tioman yang terkenal di dunia. Ia menyediakan pelbagai jenis tempat penginapan – daripada rangkaian resort antarabangsa hingga ke hotel butik dan juga penginapan ala-Melayu yang diusahakan secara persendirian. Tersenarai sebagai taman marin Malaysia, kejernihan laut di Pulau Tioman serta hidupan laut semula jadi menjadikan pulau ini umpama syurga bagi para penyelam.

Tasik 
Tasik Bera, terletak di barat daya negeri Pahang, ialah kawasan paya air tawar yang terbesar di Semenanjung Malaysia. Jika anda seorang pencinta alam atau peminat alam semula jadi, pemerhati burung atau seorang pemancing, tentunya anda akan teruja dengan kawasan tasik yang sangat indah yang bercirikan kedesaan, dengan 200 spesies burung, 50 spesies mamalia dan lebih daripada 90 spesies ikan air tawar.
Tasik Chini pula ialah tasik air tawar kedua  terbesar di Malaysia dan ianya terbentuk  daripada 12 buah tasik. Terdapat legenda yang mengatakan bahawa seekor naga mitos tinggal di situ. Tasik tersebut juga kaya dengan pelbagai hidupan  dan tumbuhan tropika yang subur.

Tempat- tempat menarik di Pahang

Cameron Highland

Di sini saya akan berkongsi dengan anda tempat yang saya sudah kunjungi iaitu Cameron Highland. Tempat ni memang sangat cantik dan menarik. Rasa macam nak pergi lagi. Kos pun tak banyak sangat yang perlu dikeluarkan sebab barang-barang di sini dijual dengan harga yang berpatutan. Anda boleh membeli pelbagai jenis barang dan cenderamata untuk dibuat kenangan especially teh cameron dan strawberi.... Sesiapa yang mahu merasai suasana sejuk dan nyaman, bolehlah datang ke sini. Ia boleh menenangkan fikiran anda dari kesibukan kerja dan masalah. Saya pasti anda akan merasai kepuasannya apabila mengunjung ke sini. 
Iklim sejuk, ladang strawberi dan teh serta bangunan gaya Tudor di stesen peranginan tanah tinggi terbesar di Malaysia pasti menawan hati pelancong. Terdapat pelbagai aktiviti untuk anda nikmati di Tanah Tinggi Cameron, pusat peranginan tanah tinggi yang terbesar di Malaysia. Bersiar-siar melalui perkampungan yang menarik, melawat rama-rama, ladang teh serta strawberi yang terhampar luas semua aktiviti yang menyeronokkan dan menenangkan tersedia di sini untuk anda.


                                      Strawberi yang segar dan sedap...ermm....delicious



                                     Ladang teh yang terbentang luas....


Cuaca nyaman di sini memang tidak dapat ditandingi. Luangkan masa di sini beberapa hari , jauh dari kehangatan cuaca di tanah rendah dan anda pasti berasa segar untuk percutian anda yang seterusnya. Selamat berkunjung :)













Saturday 9 April 2011

Habib Hassan al-Attas : Tokoh Islam Pahang

Habib Hassan bin Syed Ahmad al-Attas merupakan salah seorang tokoh korporat dan pendidik peringkat awal di negeri Pahang. Iaitu sewaktu pemerintahan Sultan Ahmad al-Muadzam Syah (1836-1914), Sultan Pahang yang pertama.

Tokoh ini dipercayai berasal dari Timur Tengah yang datang ke Singapura sejak kecil. Kemudian beliau berpindah ke negeri Pahang untuk mencari kehidupan yang selesa. Hal ini demikian kerana pada waktu itu negeri Pahang mempunyai hasil mahsul yang makmur. Selain seorang korporat, beliau juga terkenal sebagai seorang tokoh agama yang disegani. Malah di samping berniaga pada waktu itu, Habib Hassan juga mementingkan didikan agama. Dalam hal ini, keluarga serta orang-orang yang di bawah jagaannya dipastikan mendapat didikan agama yang sempurna.

Pada masa ini, negeri Pahang terkenal dengan hasil bijih timah dan emas. Hasil galian itu didapati di Lembah Sungai Kuantan dan di beberapa tempat di daerah Lipis. Antaranya terdapat di Penjom, Tanum, Telum, Raub, Yong, Sampan, Cheka, Selinsing, dan banyak lagi. Sebagai seorang korporat, Habib Hassan membeli dan menjual bijih timah dan emas. Dalam masa yang sama beliau juga membawa masuk pekerja-pekerja dari Singapura untuk mengusahakan lombong tersebut.

Kebanyakan pekerja yang dikendalikan oleh Habib Hassan terdiri daripada orang-orang Cina. Pengusaha lombong di situ mendapatkan pekerja tersebut daripada Habib Hassan dengan perkiraan kadar yang munasabah. Oleh hal yang demikian Habib Hassan sentiasa dihormati oleh orang-orang Cina khususnya yang datang mencari nafkah di Pahang. Dalam kalangan mereka bukan sahaja menjadi pekerja lombong malah ada yang menjadi tauke.

Pengaruh Habib Hassan di kalangan orang-orang Cina ini memudahkan tokoh ini menyelesaikan masalah yang timbul. Sebenarnya, pada waktu ini perusahaan mengeluarkan bijih timah dan emas bukan sahaja dijalankan oleh orang-orang Cina dan penduduk tempatan. Tetapi turut diusahakan juga oleh pihak Inggeris dan Australia. Mereka ini memajak tanah-tanah atau kawasan-kawasan bijih timah dan emas dari Kerajaan Pahang dengan cara tertentu.

Dalam perusahaan ini, pelbagai pihak cuba mengaut keuntungan yang banyak terutama pihak Inggeris dan Cina. Walau bagaimanapun keadaan ini dapat dikawal oleh pihak Sultan dengan bantuan orang-orang besar baginda. Hal ini demikian kerana kebanyakan kawasan perusahaan bijih timah dan emas dipajakkan kepada orang Inggeris dan Cina.

Walau bagaimanapun Habib Hassan yang telah meminta kebenaran Sultan untuk mendapat kuasa mengendalikan pekerja masih gagal. Pihak Inggeris menolak usahanya. Dengan peristiwa ini, Sultan Ahmad dapat membaca akan helah pihak Inggeris. Mereka mahu membolot segala kekayaan bijih di negeri Pahang. Oleh hal yang demikian, pada tahun 1887 baginda telah membatalkan beberapa perjanjian pajakan dengan Inggeris. Jadi, beberapa kawasan terutamanya di Kuantan tidak boleh dilakukan perlombongan. Hal ini sangat mendukacitakan pihak Inggeris.

Oleh sebab itu, Hugh Clifford yang menjadi wakil Residen Inggeris di Pahang pada tahun 1888 telah menyusun satu undang-undang perusahaan. Undang-undang itu meliputi peraturan pekerja perusahaan bijih dan tanggungjawab majikan terhadap pekerja-pekerja. Peraturan ini kemudiannya telah disesuaikan oleh Sultan Ahmad demi kebajikan rakyat baginda. Walau bagaimanapun, Habib Hassan mendapati terdapat kekurangan dalam beberapa peraturan yang telah diluluskan itu. Padanya peraturan itu banyak menyebelahi Inggeris dan menguntungkan mereka.

Dalam hal ini, Habib Hassan banyak memberi pandangan kepada baginda Sultan tentang usaha jahat Inggeris di Pahang itu. Mereka mahu mengaut kekayaan melalui hasil mahsul dengan pelbagai cara yang licik. Pandangannya itu termasuk pemberian ganjaran kepada pembesar negeri yang terlibat di kawasan perlombongan

Pada awal kedatangan Habib Hassan ke negeri Pahang, tokoh ini telah meneroka sebuah pulau di Kuala Sungai Pahang. Dia telah menjalankan operasi mengambil pekerja-pekerja Cina dari Singapura ke pulaunya. Pulau ini sekarang terkenal dengan nama Pulau Habib Hassan. Beliau dan penghuni lain menanam kelapa di pulau ini. Pulau tersebut dijadikan lokasi dan tempat kediamannya adalah kerana kemudahan laluan kenderaan laut. Pada masa itu pengangkutan seperti kapal kecil, tongkang, dan lain-lain mengguna laluan tersebut. Sebahagiannya datang dari Singapura. Di pulau ini juga Habib Hassan menempatkan bijih timah yang akan dihantar ke Singapura. Keadaan pulau yang dikelilingi oleh air memudahkan beliau dan orang-orangnya menjaga keselamatan diri dan harta.

Pada penghujung usianya, Habib Hassan dilantik menjadi salah seorang daripada penjaga khazanah negeri. Tokoh ini menjadi orang kepercayaan Sultan untuk mentadbir khazanah Sultan. Pada masa yang sama, Habib Hassan dilantik menjadi ketua agama Islam di istana. Beliau mengendalikan hal-ehwal agama Islam di istana Sultan Ahmad termasuk mengajar agama dan mengaji al-Quran.

Tugas beliau sebagai pegawai istana, menjadikan Habib Hassan seorang yang berpengaruh dalam masyarakat. Apatah lagi beliau sendiri yang mempunyai lebihan harta banyak menyumbang kepada agama. Pada tahun 1921 beliau telah mendirikan sebuah sekolah agama yang diberi nama Madrasatul ‘Arabiah al-Attas di Kampung Ketapang, Pekan. Mata pelajaran yang diajar di sekolah ini ialah bahasa Arab, Ilmu Hisab, tawarikh (sejarah), Ilmu Alam (geografi) di samping pengetahuan agama Islam yang menjadi asas pengajian. Sekolah ini mendapat sambutan semua golongan masyarakat termasuk golongan istana.

Sekolah ini kekal hingga sekarang dan kini ditadbirkan oleh Kerajaan Negeri Pahang sejak tahun 60-an. Sebagai tokoh agama serta usahawan yang berjaya, Habib Hassan perlu dikenang. Jasa-jasa tokoh ini wajar ditulis dalam sejarah perkembangan pendidikan dan agama Islam khususnya dalam pembinaan negeri Pahang. Begitu juga dalam membangunkan masyarakat dalam bidang ekonomi. Dari sumber rujukan yang dibuat, tidak dapat ditentukan bila tokoh ini dilahirkan dan bila pula dia meninggal dunia. Namun yang dapat dikesan ialah Habib Hassan turut memberi sumbangan kepada kerajaan Pahang semasa pemerintahan Sultan Mahmud dan Sultan Abdullah.

Tokoh dan Pahlawan Pahang

Setiap negeri mempunyai tokoh atau pahlawan. Begitu juga dengan Pahang. Salah seorang pahlawan negeri Pahang ialah Mat Kilau.

Mat Kilau Pahlawan Melayu
 
Pahlawan terbilang Melayu, Mat Kilau tidak hanya berjuang menentang penjajah di negeri kelahirannya, Pahang malah turut sama menyemarakkan semangat perjuangan bagi menebus maruah bangsa dan agama di negeri jiran iaitu Terengganu dan Kelantan.
Nama penuh beliau adalah Mat Kilau bin Imam Rasu @ Tok Gajah. Ibu beliau adalah Mahda iaitu anak kepada Tok Kaut Burau. Mat Kilau dipercayai lahir dalam tahun 1865/1866 di Kampung Masjid, Pulau Tawar. Mat Kilau pandai mengaji, berzanji dan berdikir maulud serta belajar berdikir rebana yang dikenali sebagai ‘Dikir Pahang’. Hobi Mat Kilau adalah bermain gasing dan berlaga buah keras sehingga sentiasa menjadi juara di kampung beliau.
Sekitar 1890-an, berlaku pemberontakan rakyat di Pahang yang marah dengan tindakan British mengambil alih tugas memungut cukai dan hasil daripada pembesar negeri yang dilantik.
Antara yang menerima akibat daripada campur tangan pentadbiran British di Pahang adalah pembesar negeri iaitu Tok Gajah dan Datuk Bahaman. Kesan daripada itu, bermula siri pemberontakan di kalangan pembesar negeri hingga mengakibatkan mereka diburu British kerana menentang penjajah.
Rentetan daripada peristiwa itu, British mengisytiharkan perang terhadap beberapa pembesar Pahang dan     mengarahkan mereka ditangkap serta dihukum.
Bagaimanapun, Mat Kilau dan beberapa pembesar lain berjaya melarikan diri dan menyebarkan semangat perjuangan menentang penjajahan di negeri jiran iaitu Kelantan dan Terengganu.
Perjuangan Mat Kilau mendapat sokongan padu daripada dua tokoh ternama kedua-dua negeri iaitu ulama terkenal Terengganu, Tokku Paloh dan Abdul Rahman Limbong serta Tok Janggut di Kelantan.
Melalui kerjasama dan sokongan padu yang diberikan, Mat Kilau yang agak mahir dengan ilmu hutan menyusup masuk ke Terengganu dan Kelantan melalui beberapa laluan khusus yang hingga ke hari ini laluannya masih tetap digunakan khususnya pencari gaharu.
Dipercayai, terdapat tiga laluan yang digunakan Mat Kilau untuk ke Terengganu dan Kelantan bagi mendapatkan sokongan penduduk di kedua-dua negeri itu.
Antaranya, laluan dari Kampung Bantal di Jerantut ke Kampung Pasir Raja di Dungun, laluan dari Jerantut ke Pasir Nering, Hulu Terengganu dan laluan dari Jerantut ke Gua Musang Kelantan.
Bagaimanapun, laluan yang kerap digunakan Mat Kilau dan pengikutnya bagi mengelakkan diri daripada British adalah laluan antara Kampung Bantal ke Kampung Pasir Raja.
Penentangan Mat Kilau yang berterusan terhadap British menyebabkan dia menjadi orang buruan yang paling dikehendaki dan dicop sebagai penderhaka oleh Inggeris menyebabkan beliau mengasingkan diri dan hidup berpindah randah dari satu tempat ke satu tempat.
Pada Oktober 1895, laporan akhbar Inggeris yang diterbitkan di Singapura, iaitu The Straits Times dan The Free Press menyatakan “Ketua Pendehaka, iaitu Datuk Bahaman ditahan pemerintahan Siam. The Free Press pula menyatakan Mat Kilau yang melawan ketika ditangkap cedera pada muka dan kepala. Kecederaannya dikatakan parah dan dia mati dalam perjalanan ke hilir Kota Bharu disebabkan kehilangan darah yang banyak. Dengan tersiarnya berita kematian Mat Kilau oleh akhbar The Free Press keluaran 22 Oktober 1895,maka tamatlah riwayat pahlawan Melayu itu.
Bagaimanapun, apa yang sebenarnya berlaku tidak diketahui kecuali beberapa orang sahabatnya seperti Mustafa Awang Mat (Jusoh Rimau), Pendekar Tok Demali, Raja Ibrahim (Pak Him), Mat Kelantan dan beberapa orang lain.
Disebabkan Mat Kilau dicop sebagai ‘penderhaka’ oleh Inggeris, maka terpaksalah Mat Kilau mengasingkan diri dan berpindah dari satu tempat ke satu tempat dan akhirnya bermastautin di Batu 5, Jalan Kuantan-Gambang. Sejak 1930, Mat Kilau terpaksa menukar namanya buat beberapa kali dan akhirnya dia memakai nama Mat Siam.
Pada Disember 1969, Tuhan menggerakkan hati Mat Kilau yang pada itu memegang kad pengenalan diri K/P 2044778 dan bernama Mohamad bin Ibrahim, memperkenalkan dirinya yang sebenar.








































Sejarah Negeri Pahang

Kebiasaannya, untuk mengenali tentang sesuatu tempat, kita perlulah mengetahui tentang sejarahnya dulu. Bak kata pepatah 'tak kenal maka tak cinta'. Oleh itu, saya akan menceritakan kepada anda serba sedikit tentang sejarah negeri ini.

Bagaimana Pahang mendapat namanya?

Pada zaman dahulu Negeri Pahang Darul Makmur mempunyai berbagai nama. Pengarang China menyebutnya sebagai Pang-Hang, Peng-Heng, Pang-Heng, Pong -Fong, Phe-Hang, Pang-Kang dan lain-lain. Pada tahun 1225 Chao Ju-Kua telah mengarang sebuah buku bernama Chu-Fan-Chi, beliau menyatakan di antara beberapa buah negeri yang ditakluki di bawah kuasa San-fo-chi ialah negeri yang bernama Peng-keng. Peng-keng itu ialah Negeri Pahang Darul Makmur.

Orang Arab dan orang Eropah zaman dahulu menyebut Pam, Pan, Phang, Paam, Pao, Paon, Phaan, Paham, Fanhan, Phang dan Pahagh. G.R. Tibbetts, seorang ahli sejarah yang mengulas kisah yang ditulis dengan huruf Arab dalam buku karangan Mas'udi itu pada pendapat Tibbetts ialah Pahang. Dia lebih setuju menyebut perkataan Fanjab itu sebagai Fanhan, Panghang atau Panhang. Semuanya itu dimaksudkan Pahang. Ada setengah pendapat menyatakan Pahang berasal dari bahasa Siam asli ertinya timah. Orang Siam asli yang dulunya mendiami negeri ini dengan membuka lombong bijih timah terutama di Sungai Lembing.

Mengikut cerita orang tua-tua Melayu pula, pada zaman dahulu di Sungai Pahang iaitu bertentangan dengan Kampung Kembahang, ada sebatang pokok kayu mahang yang besar rebah melintang menyeberangi sungai itu. Dari pokok mahang itu kononnya berasal nama Negeri Pahang Darul Makmur itu. Gelaran tua bagi Negeri Pahang Darul Makmur itu ialah Inderapura, disebut Pahang Inderapura. Bandar Dirajanya terkenal hingga sekarang iaitu Pekan dan ibu negeri pada zaman dahulu iaitu Kuala Lipis. Sebelum ditakluk oleh kerajaan Melayu Melaka ia dikenali sebagai Pura.

Pentadbiran di negeri Pahang

Inggeris telah meluaskan kuasanya ke Negeri Pahang Darul Makmur, Residen pertama iaitu J.P.Rodger telah dilantik dalam bulan Oktober 1888. Perkara utama yang diberikan perhatian oleh Inggeris ialah menentukan tempat letaknya pusat pentadbiran Negeri Pahang Darul Makmur. Tiga tahun kemudian iaitu dalam tahun 1891 pusat pentadbiran ini dipindahkan dari Pekan ke Lipis. Rancangan ini hanya untuk buat sementara sahaja tetapi rancangan yang dikatakan sementara itu telah memakan masa lebih dari 64 tahun kerana pusat pentadbiran Negeri Pahang Darul Makmur hanyalah dipindahkan ke Kuantan pada tahun 1955. Cadangan untuk pemindahan pusat pentadbiran ini telah dibuat semenjak tahun 1901 lagi, tetapi keputusan muktamad untuk memindahkan pusat pentadbiran Negeri Pahang dari Kuala Lipis ke Kuantan diambil pada 2 Mac 1953; Bagi memilih tempat yang bersesuaian bagi pusat pentadbiran Negeri Pahang, pihak Kerajaan Negeri telah memusatkan pandangannya kepada dua kawasan iaitu Temerloh / Mentakab dan Kuantan. Tetapi disebabkan bentuk mukabumi Temerloh / Mentakab yang tidak rata dan memerlukan perbelanjaan yang besar untuk pembangunannya maka Kuantan telah diputuskan untuk dijadikan ibu negeri Pahang Darul Makmur. Pusat pentadbiran Negeri Pahang Darul Makmur telah dipindahkan ke Kuantan pada hari Sabtu 27 Ogos 1955 dengan dirasmikan oleh KDYMM Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al Muadzam Shah Ibni Al Marhum Al Sultan Abdullah Al Mu'tasim Billah, DK., SIMP., DK., SIMP., DK(Brunei)., DK(Johor)., DK(Perak)., SPDK(Sabah)., GCMG. Manakala pada 28 Februari 1970, bangunan pentadbiran pusat berpindah ke Wisma Sri Pahang.


Pengenalan kepada Pahang

Selamat datang kepada semua pengunjung blog saya. Di sini saya berminat untuk menulis tentang tempat kelahiran saya negeri Pahang. Sebagaimana yang kita ketahui negeri Pahang merupakan negeri terbesar di semenanjung Malaysia. Saya akan menulis untuk anda tentang betapa indahnya negeri Pahang ni khususnya bagi sesiapa yang tidak pernah datang ke Pahang. Pasti selepas ini anda tertarik dengan keindahan yang terdapat di Pahang.....welcome